SPM 2009: Perjalanan Seterusnya dan Penentuan Kerjaya

Keputusan (Sijil Pelajaran Malaysia) SPM 2009 telah diumumkan secara rasmi pada Khamis lepas, 11 Mac 2010 dan mungkin ada di antara kita sedang bergembira dengan keputusan cemerlang yang dikecapi hasil usaha dan titik peluh anda. Tahniah saya ucapkan. Namun, mungkin ada yang kurang bernasib baik dalam mengecapi keputusan yang cemerlang dalam SPM yang lalu, walaubagaimanapun, saya nasihatkan usah bersedih kerana kegagalan anda pada hari ini bukan penentu kejayaan dan kerjaya anda di masa depan. Masih banyak laluan dan liku hidup yang perlu ditempuhi selepas ini, dan kegagalan hari ini mungkin jadi satu pemangkin ke arah kejayaan untuk masa depan. Insyaallah.

Sekarang ini SPM sudah jadi sejarah. Apa yang perlu anda lihat sekarang adalah masa depan anda yang masih jauh perjalanannya, perjalanan ke arah kerjaya yang anda impikan. Saya seringkali ditanya oleh rakan-rakan apakah bidang kerjaya yang patut mereka pilih, dan setiap kali soalan itu timbul, tiada jawapan dapat saya berikan. Ya, saya tak mampu berikan jawapan bidang kerjaya apa yang mereka patut pilih kerana pada pandangan peribadi saya, ia terletak pada minat dan kemampuan diri sendiri untuk menceburi bidang kerjaya yang anda inginkan. Saya mungkin boleh berikan pendapat dan nasihat, namun keputusannya masih di tangan anda untuk memilih haluan masa depan anda sendiri.

Tidak kira apa bidang kerjaya yang kita ingin ceburi, baik bidang perubatan, undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan, farmasi, IT bahkan bidang perguruan sekalipun, nasihat saya cuma satu, sila pastikan itulah yang anda inginkan. Tetapkan pendirian anda dan laksanakan. Jangan pilih sesuatu kerjaya itu disebabkan rakan rapat anda memilih kerjaya itu dan jangan pilih kerjaya itu disebabkan paksaan ibu bapa. Minat yang mendalam dalam sesuatu perkara itu adalah pemangkin terbaik ke arah kejayaan. Jangan paksa diri anda buat sesuatu yang anda rasa sukar untuk anda laksanakan kerana tiadanya minat dalam apa yang anda lakukan. Dengan minat yang mendalam, apa pun yang mustahil dapat direalisasikan.

Namun, mungkin ada di antara pembaca yang tertanya-tanya, jika keputusan SPM saya tidak cukup baik dan saya punyai minat dalam suatu bidang kerjaya yang memerlukan saya punyai keputusan yang cemerlang dalam SPM, apakah saya masih ada peluang? Jawapan saya ialah masih ada jalan dan peluang untuk anda. Sebab itu saya katakan, perjalanan kerjaya hidup ini masih panjang, peluang untuk anda ke arah kerjaya yang anda idamkan itu masih ada dan SPM bukanlah satu-satunya penentu samada anda layak atau tidak memilih kerjaya yang anda impikan itu. Selepas SPM, rata-rata daripada para pelajar tingkatan 5 akan ke program matrikulasi atau mungkin juga memilih untuk terus pra-universiti atau program asasi. Di sinilah peluang kedua yang diberikan kepada anda untuk berusaha ke arah kerjaya anda itu. Masih ada peluang kedua untuk anda perjuangkan!

Jadi, keputusan cemerlang dalam SPM itu tidak penting? Bukanlah begitu, keputusan yang cemerlang dalam SPM masih lagi penting dan saya tidak katakan keputusan cemerlang dalam SPM itu tidak penting, apa yang ingin saya ialah SPM bukan segala-galanya dan bukan satu-satunya penentuan kerjaya hidup dan masa depan anda. Saya masih ingat pesanan seorang guru sejarah saya ketika di MRSM Balik Pulau, beliau berpesan, berjaya atau gagal anda dalam SPM bukanlah penentu masa depan anda. Buktinya, ada di antara rakan saya yang kini sedang menuntut di luar negara dalam bidang kedoktoran dan perubatan, walhal keputusan SPM yang mereka perolehi tidak melayakkan mereka untuk menuntut dalam bidang tersebut. Namun, saya percaya, mereka telah menggunakan peluang kedua mereka di matrikulasi, pra-universiti dan program asasi dengan sebaik yang mungkin untuk mengejar impian mereka. Akhirnya, mereka berjaya melayakkan diri satu langkah lagi ke hadapan ke arah kerjaya impian mereka.

Oleh itu, saya harap entri ini dapat berikan sedikit sebanyak idea dan motivasi kepada semua dalam memilih bidang kerjaya mereka. Buat adik-adik lepasan SPM, kuatkan semangat dan buatlah keputusan yang terbaik untuk diri, masa depan dan keluarga anda. Gunakan sebaiknya peluang yang diberikan kepada anda untuk mengecapi impian anda. Buat ibu bapa, berikanlah sokongan yang berterusan kepada anak-anak anda. Sokong mereka setiap masa, tika mana mereka jatuh dan bangun. Entri ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya, dan saya juga masih lagi seorang pelajar. Masih jauh lagi perjalanan kerjaya hidup yang bakal saya tempuhi kelak, berjaya atau gagal masih lagi belum tentu, apa yang penting kita jangan berputus-asa merealisasikan impian kita itu walau apa pun rintangannya. Saya percaya, dengan kesungguhan, tekad dan semangat yang jitu, anda mampu mengecapi impian anda itu. Salam kejayaan! :)

p/s: Buat adik saya yang juga salah seorang pelajar yang menerima keputusan SPM pada Khamis lepas, kuatkan semangat dan pandang ke hadapan. Masih ada peluang dan ruang untuk kamu ke arah impian kamu.
p/p/s: Jika anda ada pandangan tersendiri, sudi-sudikanlah kongsikan pandangan anda, moga ia dapat dijadikan sumber inspirasi buat yang lain. :)

ENTRI BERKAITAN BARANGKALI:

  1. Program Untuk Lepasan SPM oleh UNITEN
  2. Adakah Kita Perlukan Orang Gaji Indonesia?
  3. PTPTN Lupuskan Pinjaman 9,545 Orang Pelajar Sebanyak RM277.99 Juta
  4. Malaysia Lawan Singapura; Tahniah #HarimauMalaya Atas Persembahan Yang Terbaik!
  5. Setelah Sekian Lama Menyepi

4 pandangan telah dikongsikan

  1. Sekarang nie ada banyak peluang dan sumber untuk kita teruskan pembelajaran…..

  2. aisya says:

    hurm…pening kepala juga pk hala tuju lps spm keluar…tdetik juga sedikit kecewa namun hidup perlu diteruskan…chaiyok99xxx….boleh tolong bagi panduan hala tuju selain asasi,diploma, sekiranya saya tidak berjaya menempatkan diri ke menara gading dan y seangkatan?
    tq :)

Kongsikan Pandangan Anda

CommentLuv badge