Salam Ramadhan dan Permulaan Satu Perubahan
Sudah hampir 2 bulan laman blog ini tidak dikemaskini. Catatan terakhir adalah pada bulan Jun lepas dan saya mohon maaf kepada semua pelawat dan pembaca-pembaca yang melanggan RSS daripada laman blog ini. Bukan apa, tahun ni adalah tahun ke-3 pengajian saya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, maka komitmen dan beban pelajaran itu boleh dikatakan makin bertambah. Bukan tiada masa, tetapi masa itu diperuntukkan itu perkara yang lebih penting. Walau apa-apa pun, saya akan mulakan perubahan sedikit demi sedikit untuk kembali aktif dalam medium perkongsian pendapat dan ilmu ini.
Seperti yang kita semua maklum, semua umat Islam di Malaysia akan memulakan ibadah puasa pada esok hari, Sabtu 22 Ogos 2009. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia dan dengan harapan kedatangan bulan Ramadhan ini akan memberikan 1001 keberkatan kepada kita semua dan menjadi permulaan ke arah satu perubahan yang lebih baik.
Saya masih ingat khutbah Jumaat pada hari ini mengenai ibadah puasa dan ingin saya kongsikan sedikit kepada para pembaca semua. Bulan Ramadhan adalah bulan yang mengajar kita untuk lebih mengsyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dan juga bulan bagi kita, umat Islam untuk merasai sedikit sebanyak kepayahan segolongan daripada kita yang kurang bernasib baik. Golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Golongan yang hanya berlaukkan garam dan ikan kering untuk makan dengan nasi. Golongan yang mungkin makan sisa-sisa makanan golongan yang sedikit bernasib baik. Jadi, pada bulan Ramadhan inilah bulan yang akan mengajar kita erti ambil peduli, kepayahan, kesusahan dan kedaifan sekelompok masyarakat kita hari ini. Kadang-kadang kita alpa dengan golongan ini lantaran nikmat yang kita kecapi kini. Saya mengajak anda untuk berfikir sejenak, apakah kita mengsyukuri nikmat yang dikurniakan kepada kita hari ini?
Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang baik untuk memulakan suatu perubahan. Jika dulu kita boros dalam berbelanja sampai tak ingat dunia, maka Ramadhan ini, mari kita berjimat cermat. Jika dulu kita makan apa sahaja yang kita mahu, tak kisahlah berapa harganya pun, maka Ramadhan ini mari kita kurangkan itu semua, makanlah secara sederhana dan ingatlah golongan yang kurang bernasib baik daripada kita. Pernahkah kita fikir, apakah yang golongan ini makan sewaktu kita makan pizza? Ayam KFC? McD? Jadi, syukurilah nikmat yang kita kecapi sekarang dan jangan lupakan golongan yang kurang bernasib baik kerana mereka juga manusia seperti kita. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka, apakah yang anda dapat rasa?
Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang baik untuk kita menjaga kesihatan kita. Kalau sebelum ini kita tidak henti-henti makan, maka bulan Ramadhan ini, kita rehatkan perut kita, kita kurangkan berat badan kita. Bukan apa, bila berat badan bertambah sehingga melebihi BMI (Body Mass Index) yang ideal, pelbagai penyakit bakal datang dan dengan penularan H1N1 yang membimbangkan kini, golongan obesiti adalah salah satu golongan berisiko tinggi untuk dihidapi H1N1. Kata orang, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, selagi kita mampu mencegah, kita cegah. Jangan bila dah terkena barulah kita nak bertindak dan pada waktu itu sudah tiada guna lagi.
Jadi inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan. Saya bukanlah orang yang sempurna, kadang-kadang mungkin alpa dan melakukan kesilapan juga, kerana ini lumrah manusia. Kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Tetapi, daripada kesilapan tersebutlah kita belajar menjadi insan yang sempurna.
Sebelum saya terlupa, bersempena dengan bulan Ramadhan ini, ingin saya kongsikan “Ramadhan Handbook” kepada para pembaca semua. Diharapkan sedikit sebanyak e-buku ini boleh dijadikan panduan sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.
Saya rasa setakat ini dahulu kemaskini untuk kali ini dan kemaskini seterusnya akan menyusul kemudian bersempena Hari Kemerdekaan ke-52 yang bakal kita sambut tidak lama lagi.
p/s: Ahlan Wasahlan Ramadhan
ENTRI BERKAITAN BARANGKALI:
