Video Rakaman Bersih 2.0 oleh PDRM; Masa Untuk Rakyat Menilai

Sebolehnya saya tidak mahu sentuh mengenai isu Bersih 2.0 lagi, tetapi atas dasar ingin berkongsi dan untuk sama-sama kita nilai dan fikirkan, saya ingin kongsikan video rakaman Bersih 2.0 yang didakwa dirakam oleh pihak PDRM untuk menolak dakwaan sesetengah pihak sebelum ini bahawa polis dan FRU bertindak kasar ke atas peserta perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai yang lalu. Tidak perlu saya berbicara panjang, jika anda mempunyai masa selama 1 jam untuk menonton video dibawah, saya persilakan anda menontonnya sehingga tamat dan berikan komen anda agar saya dan pembaca-pembaca blog yang lain dapat sama-sama berkongsi pandangan mengenai video ini. Saya sedar video yang sepanjang 1 jam ini sudah tentu tidak akan disiarkan di media massa utama, jadi kita gunakan media massa alternatif agar kita dapat membuat penilaian yang lebih rasional dan bijak.

Polis hari ini mengakui kemungkinan meriam air dipancutkan ke lorong-lorong di belakang hospital Tung Shin manakala asap gas pemedih mata yang ditembak meresapi perkarangan hospital itu.

Namun sasaran polis adalah peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dan ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard polis,” kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid. (Sumber)

Secara peribadi saya berpandangan, PDRM seharusnya menjelaskan isu disebalik video yang dipertontonkan dan dikongsikan oleh ramai individu di Youtube berkenaan tindakan polis ke atas peserta perhimpunan Bersih 2.0 ini kerana inilah yang dipersoalkan oleh ramai pihak dan rakyat. Bagaimana dengan isu polis yang memakai uniform polis tanpa tag nama dan nombor polis? Dengan perkongsian video ini, saya serahkan penilaiannya kepada anda, rakyat Malaysia untuk menilai secara rasional dan bijak mengenai isu dan tindakan pihak berkuasa ketika perhimpunan Bersih 2.0.

p/s: Lama betul masa yang diambil PDRM untuk siarkan video ini, hampir 2 minggu. Mungkin banyak siasatan perlu dilakukan sebelum video ini dipaparkan.

SKMM Akan Saman ASTRO?

Buletin Utama hari ini melaporkan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Rais Yatim akan mengemukakan saman ke atas stesen televisyen berbayar ASTRO kerana enggan dan ingkar dalam mengikuti arahan kerajaan untuk tidak menaikkan caj bayaran perkhidmatan TV berbayar ASTRO. Baru-baru ini ASTRO telah menaikkan caj bulanan sehingga RM15 untuk beberapa pakej tertentu dan ini dilakukan tanpa notis kepada pelanggan.

Keengganan dan pengingkaran arahan kerajaan dan kementerian terbabit oleh ASTRO mendesak kerajaan untuk menyaman ASTRO melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kerajaan mendakwa, ASTRO harus mengambil kira respon pelanggan disamping memperbaiki mutu penyiaran yang didakwa seringkali terjejas terutamanya ketika waktu hujan. Sebagai pengguna dan pelanggan ASTRO, dakwaan ini benar dan perkara ini sudah menjadi keluhan ramai pengguna-pengguna ASTRO di Malaysia. Seharusnya, ASTRO memperbaiki masalah ini yang sudah sekian lama dibangkitkan dan bukan hanya tahu untuk menjana keuntungan sahaja.

p/s: Agak-agaknya, apakah saman yang bakal diterima oleh ASTRO ye? :)

Malaysia lawan Liverpool: Tiada Siaran Langsung di Saluran Sukan ASTRO Arena (801)

Kemaskini terkini – 16 Julai 2011; 4.21 petang

Astro Arena Saluran 801
Kepada peminat setia bola sepak tanahair, disebabkan jualan laris tiket untuk perlawanan pada petang ini, Astro Arena telah dibenarkan untuk menyiarkan Perlawanan Persahabatan Antarabangsa antara PILIHAN MALAYSIA dan LIVERPOOL. Maka, saksikanlah siaran langsung perlawanan ini di saluran 801, Astro Arena pada jam 5.45 petang hari ini. (Sumber)

Disebalik komen negatif dan kecewa pelanggan-pelanggan Astro dan para peminat bola sepak Malaysia semalam di laman sosial Facebook rasmi Astro Arena Saluran 801, hari ini Astro Arena di laman sosial Facebook mereka mengemaskini status mereka dengan pengumuman bahawa tiada siaran langsung di Astro Arena untuk perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dan Liverpool pada malam Sabtu ini, 16 Julai 2011. Berikut adalah status yang dikemaskini oleh pihak Astro Arena.

Astro Arena Saluran 801
Kepada peminat setia sukan bola sepak tanah air, TIADA SIARAN LANGSUNG perlawanan persahabatan antara PILIHAN MALAYSIA & LIVERPOOL pada 16 JULAI 2011(SABTU) di Astro Arena. Untuk perkembangan selanjutnya, sila saksikan NADI ARENA, SECARA LANGSUNG pada jam 7.30 mlm & 11.00 mlm. (Sumber)

Pengumuman ini pada saya amat mengecewakan bagi pihak pelanggan Astro dan juga peminat bola sepak Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa Astro langsung tidak mengendahkan kehendak dan permintaan pelanggan mereka untuk menyaksikan perlawanan persahabatan ini secara siaran langsung. Apakah begitu sukar untuk Astro menayangkan siaran langsung tersebut yang berlangsung di Malaysia, yang dianjurkan oleh Malaysia, disertai oleh pasukan bola sepak Malaysia dan yang jarang-jarang diadakan di Malaysia ini?

Nampak gayanya peminat bola sepak tempatan perlu bergantung kepada stesen TV negara lainlah seperti perlawanan Malaysia lawan Arsenal semalam untuk menonton siaran langsung perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dan Liverpool pada malam Sabtu nanti. Apakan daya, stesen TV negara sendiri pun tidak mampu untuk menyiarkan perlawanan tersebut. Di mana RTM? TV3? Media Prima? Dimana sokongan mereka kepada pasukan bola sepak Malaysia?

p/s: Saya rasa sudah tiba masanya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan untuk campur tangan dalam hal penyiaran siaran langsung perlawanan ini.

Kenapa Tiada Siaran Langsung Malaysia lawan Arsenal di Rangkaian TV Berbayar ASTRO?

Saya kecewa. Sebagai pelanggan Astro B.yond dan rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan untuk ke Stadium Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara skuad Malaysia (Harimau Malaysia) menentang Arsenal, saya kecewa kerana tiada siaran langsung disiarkan di mana-mana saluran TV berbayar Astro. Dalam banyak-banyak saluran untuk peminat sukan di Astro, mana mungkin tiada satu pun saluran yang dapat diberikan ruang untuk menyiarkan siaran langsung perlawanan tersebut. Astro Arena, Astro SuperSport dan beberapa saluran sukan lagi, kenapa tidak boleh siarkan siaran langsung perlawanan ini? Sekurang-kurangnya, Astro Arena haruslah menayangkan siaran langsung tersebut. Mana pergi slogan Astro Arena, nadi sukan Malaysia/negara? Takkanlah pelanggan-pelanggan Astro hanya berhak dapat siaran ulangan sahaja sedangkan kami membayar bil bulanan yang tinggi untuk pakej sukan. Ini sangat memalukan kerana perlawanan negara sendiri pun Astro gagal menyiarkan secara langsung. Saya harap Astro tidak jadi seperti RTM.

Banyak respon dan spekulasi yang saya terima daripada rakan-rakan di Facebook dan Twitter. Ada yang mengatakan bahawa siaran langsung hanya akan disiarkan jika 80% kerusi di Stadium Bukit Jalil dipenuhi. Dimanakah relevennya syarat sebegini? Saya harap Astro sedar bahawa kami membayar siaran yang kami mahu tonton dan menjadi hak Astro sebagai penyedia untuk memastikan bahawa apa yang kami mahu tonton itu dipertontonkan. Astro tidak harus mengutamakan keuntungan semata-mata sebaliknya harus memikirkan dan memenuhi kehendak pelanggan. FAM juga harus releven kerana bukan semua rakyat Malaysia mampu untuk membeli tiket perlawanan untuk menyaksikan perlawanan tersebut di stadium. Bagaimana sokongan ingin diperolehi daripada peminat bola sepak tempatan jika siaran sebegini pun tidak dapat dipenuhi pihak berwajib. Lebih memalukan apabila saluran TV luar negara boleh menayangkan perlawanan ini secara siaran langsung, tapi di negara sendiri?

Saya harap pihak Astro, Astro Arena, FAM dan mana-mana pihak terbabit dapat mendengar suara pelanggan-pelanggan Astro terutamanya pelanggan yang melanggan pakej sukan yang mana antara pakej termahal yang ditawarkan Astro. Pelanggan ada hak mendapatkan yang terbaik kerana mereka membayar, bukan percuma. Jangan war-warkan sahaja iklan Stadium Astro tetapi tindakan yang diambil adalah sebaliknya. Sebelum saya habiskan entri ini, ingin saya ulangi, saya kecewa dengan pihak Astro kerana gagal menyiarkan siaran langsung perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dan Arsenal pada malam ini. (13 Julai 2011)

p/s: The customer is king!

Kebenaran Yang Tidak Harus Didustai – #BersihStories

Saya cuba untuk menjadi seorang yang adil dan rasional dalam menilai sesuatu perkara dengan tidak bersumberkan media massa utama sahaja dalam membantu saya berfikir dan menganalisa perkara-perkara yang berlaku dalam tempoh dua tiga hari kebelakangan ini. Tidak perlu saya berdolak dalih, semua rakyat Malaysia tahu apa yang terjadi pada 9 Julai 2011 yang lalu dan saya yakin mana-mana individu yang hanya bersumberkan media massa utama akan mengatakan Bersih 2.0 ini hanyalah membawa impak buruk dan hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu sahaja. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu sentuh hal tersebut, terpulang kepada anda untuk berfikir secara rasional sebagai seorang rakyat yang merdeka, yang menegakkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan sebagai seorang rakyat yang mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.

Jika dilihat di media massa utama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan polis tidak bertindak ganas malah mengatakan media telah membuat dakwaan tidak berasas.

“Kami mempunyai rakaman tertentu. Jika apa yang didakwa tidak mempunyai bukti, mereka yang melaporkannya akan dibawa ke muka pengadilan,” kata Datuk Seri Hishammuddin berulangkali apabila ditanya mengenai tembakan gas pemedih mata dan meriam air di perkarangan Hospital Tung Shin. (Sumber)

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh menafikan dakwaan gas pemedih mata dilepaskan di perkarangan Hospital Tung Sin dan mempertahankan tindakan anggotanya dengan alasan menggunakan “kekerasan yang munasabah” untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang didakwa melakukan provokasi kepada polis.

“… Tidak ada gas pemedih mata yang dilemparkan. Saya nampak semuanya, saya ada di sana,” kata Amar Singh dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Kuala Lumpur. (Sumber)

Terkini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu. (Sumber)

Ini antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan berkuasa berkenaan perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu. Namun, mari kita tonton video mengenai apa yang berlaku pada 9 Julai 2011 ketika perhimpunan Bersih 2.0 dilakukan. Selepas selesai menonton, saya harap anda dapat berfikir secara rasional dan bandingkan apa yang anda saksikan dalam video dibawah dengan apa yang dinyatakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Baca sepenuhnya entri ini »