Bersih 2.0: Jadilah Rakyat Malaysia yang Matang dan Rasional
Bersih 2.0 jika seperti yang dirancangkan, akan bakal bermula beberapa jam sahaja lagi dan saya sebagai salah seorang jutaan rakyat Malaysia, menggesa rakyat yang ingin atau sedang mempertimbangkan untuk hadir dan sertai demonstrasi ini untuk berfikir habis-habisan secara matang dan rasional. Apakah demonstrasi ini bakal menjayakan objektif yang ingin dicapai?
Saya dengar banyak rungutan rakan-rakan disebabkan sekatan jalan raya yang dibuat oleh pihak polis dalam operasi mencegah demonstrasi Bersih 2.0 ini dan bermacam-macam rungutan mengenai kesusahan untuk bergerak ke satu-satu tempat. Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan perlaksanaan pihak penganjur Bersih 2.0 untuk melakukan demonstrasi atau perhimpunan jalanan semata-mata untuk menyampaikan memorandum berkenaan sistem pilihan raya di Malaysia oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Yang Dipertuan Agung yang bakal menyusahkan rakyat. Ya, Datuk Ambiga yang mengetuai Bersih 2.0 mengatakan perhimpunan atau demonstrasi ini bakal dibuat secara aman, tetapi apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah bagaimana beliau ingin atau dapat memastikan demonstrasi ini berjalan secara aman? Namun, berita terkini yang saya dapat, Bersih 2.0 akhirnya menerima cadangan PDRM untuk berhimpun di stadium dan stadium yang Bersih 2.0 bakal berhimpun ialah Stadium Shah Alam. Walaubagaimanapun, saya tidak dapat pastikan kesahihan berita berkenaan Stadium Shah Alam ini, tapi saya harap ianya bakal berjalan secara aman seperti yang dijanjikan oleh penganjur Bersih 2.0.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 2.0 ini tidak bermakna saya tidak menerima apa yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 berkenaan isu sistem pilihan raya Malaysia dan senarai pengundi yang meragukan. Sila tonton video dibawah berkenaan objektif Bersih 2.0 dan fahami kenapa Bersih 2.0 memperjuangkan sistem pilihan raya yang lebih telus dan bersih bagi menjamin sistem demokrasi yang kita war-warkan ini adalah demokrasi yang sebenarnya.
Secara ringkasnya, tuntutan Bersih 2.0 ialah:
Mampukah Malaysia Mencapai Demokrasi Sebegini?
Tidak banyak entri baru ditulis untuk beberapa hari yang lepas disebabkan beberapa hal peribadi dan kesihatan yang terganggu dek cuaca di Kuala Lumpur yang berjerebu beberapa hari yang lalu. Apa-apa pun, diharapkan ketidaksihatan ni bakal beransur pulih, Insyaallah.
Saya ingin berkongsi video perdebatan untuk proses pilihan raya di United Kingdom pada tahun lalu yang pada pandangan saya memperlihatkan satu tahap demokrasi yang sangat terbuka dalam memperjuangkan perjuangan parti politik masing-masing. Saya tidak mempersoalkan demokrasi di Malaysia, tapi apakah Malaysia mampu melakukan perdebatan sebegini untuk pilihan raya yang akan datang demi perjuangan parti politik masing-masing? Atau yang lebih penting, demi rakyat. Sanggupkah pemimpin-pemimpin parti politik Malaysia sekarang, Datuk Seri Najib, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guang Eng dan mana-mana lagi pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat ini sama-sama berdebat? Bukan berdebat menyerang isu peribadi, tapi berdebat secara matang, sebagai seorang ahli politik yang telus dan bersih, dan yang ikhlas memperjuang nasib rakyat, bukan mempunyai kepentingan peribadi yang tersembunyi.
Anda tonton sahaja video ini walaupun tempohnya agak panjang, tak mengapa kalau tidak dapat menontonnya sehingga saat terakhir tapi cuba fahami apa yang cuba saya sampaikan di sini.
Isu Kilang Nadir Bumi #Lynas: 10 Syarat Dikeluarkan oleh IAEA Untuk Lynas Pertimbangkan Sebelum Kilang Beroperasi
Laporan panel penilai antarabangsa yang diketuai oleh Tero Varjoranta dari IAEA (International Atomic Energy Agency) atau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa telah dikeluarkan dan laporan ini diringkaskan dengan pemberian kelulusan bersyarat kepada Lynas untuk meneruskan pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi yang terletak di Gebeng, Kuantan. Pemberian syarat ini pada pandangan saya harus diambil serius untuk meyakinkan rakyat dan penduduk sekitar Gebeng, Kuantan bahawa projek ini bakal diselia sebaik mungkin mengikut standard yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, ini hanya pandangan peribadi saya dan ianya tidak bererti saya menyokong mahupun menolak pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi ini. Ini kerana masih banyak persoalan yang masih belum terjawab untuk meyakinkan rakyat dan juga saya, sebagai salah seorang penduduk di Kemaman tentang standard pengoperasian dan pengurusan bahan buangan kilang ini.
Walaupun media massa Malaysia menyatakan 10 syarat dikeluarkan oleh IAEA, namun berita yang disiarkan di Yahoo News! adalah sebaliknya iaitu 11 syarat dikeluarkan untuk pertimbangan Lynas dan AELB (Atomic Energy Licencing Board) – Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia sebelum projek kilang tersebut diteruskan. Satu perkara yang patut disiarkan dan dijelaskan oleh media massa Malaysia adalah apakah 10 syarat tersebut? Kenapa tidak disiarkan 10 syarat tersebut untuk pengetahuan rakyat Malaysia terutamanya penduduk di sekitar Gebeng, Kuantan?
Jadi apakah 10 atau 11 syarat yang harus dipertimbangkan oleh Lynas dan AELB yang telah dikeluarkan oleh IAEA sebelum kilang Lynas ini boleh mula beroperasi?
Malaysia (2) – Taiwan (1) : Syabas Pasukan Malaysia di Atas Persembahan Yang Konsisten
Adakah anda menonton siaran langsung perlawanan antara Malaysia dan Taiwan semalam? Jika jawapan anda ya, apa pandangan anda terhadap prestasi skuad bola sepak Malaysia sekarang ini? Bagus? Cemerlang? Pada saya persembahan skuad bola sepak Malaysia dibawah bimbingan Datuk K. Rajagopal adalah konsisten dan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Namun, corak permainan dan strategi pasukan harus dipelbagaikan agar lahir versetaliti dalam corak permainan pasukan bola sepak Malaysia ini kerana lawan tidak akan kekal dengan corak permainan yang sama. Dengan prestasi yang ditunjukkan sudah pasti lawan-lawan yang lain akan cuba mencari titik kelemahan pasukan dan ini harus diatas oleh pasukan bola sepak Malaysia. Namun saya yakin dengan bimbingan Datuk K. Rajagopal, pasukan bola sepak Malaysia mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.
Walaupun Malaysia menang tipis, namun 2 gol yang dihasilkan bukanlah calang-calang. 2 gol yang disumbangkan oleh Safiq Rahim dan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak adalah gol yang membuktikan usaha dan hasil keyakinan mereka. Diharapkan perlawanan seterusnya di Taiwan pada hujung minggu ini bakal membawa berita baik kepada peminat bola sepak tanah air.
p/s: Saya harap impian untuk melihat skuad bola sepak Malaysia bermain di Piala Dunia 2014 tercapai.
