Terkini, Malaysia dikejutkan dengan ancaman godaman ke atas laman-laman web kerajaan Malaysia oleh kumpulan pengodam dengan gelaran “Anonymous” yang mana ancaman godaman didakwa telah bermula pada 11.30 malam, 15 Jun 2011 (Rabu) dan masih berterusan sehingga kini. Ancaman godaman ini berpunca daripada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mana telah memberikan surat rasmi kepada kesemua penyedia perkhidmatan internet (ISP) Malaysia untuk melakukan sekatan (blocking) ke atas lebih daripada 10 laman web perkongsian fail atas talian yang popular di kalangan pengguna internet di Malaysia. Ok, itu isunya kini. Ancaman ini berpunca daripada tindakan SKMM yang didakwa menyekat penggunaan internet dengan melakukan sekatan ke atas laman-laman web perkongsian fail ini yang juga di dakwa oleh SKMM bahawa menjadi salah satu sumber kepada isu cetak rompak hasil karya artis Malaysia. Tindakan SKMM ini juga didakwa telah merampas salah satu hak asasi manusia.
Sekarang ini anda tahu perkara sebenar disebalik kejadian godam-mengodam ini. Namun, Utusan Malaysia menerusi laman web Utusan Malaysia mendakwa perkara sebaliknya berkaitan isu ini yang bukan sekadar tidak benar malah jauh menyimpang daripada isu yang sebenar.
198 laman web rasmi kerajaan telah digodam – Rais
17/06/2011 9:19pm
KUALA LUMPUR 17 Jun – Sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau percaya tindakan itu bermotifkan politik dan bertujuan cuba melakukan sabotaj ke atas kerajaan.
Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan.
“Sebagai contoh, sekiranya laman web agensi kerajaan yang menguruskan urusan tanah digodam maka urusan tanah akan terbengkalai.
“Sama juga dalam urusan perbankan dan sebagainya, maka serangan siber yang aneh dan menyedihkan ini adalah bermotifkan politik,” katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Rais berkata, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada penggodam yang tidak bertanggungjawab itu, dan menyarankan mereka yang terbabit supaya mempunyai sikap sayang kepada negara dan jangan melakukannya kerana “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”. – Bernama (Sumber)
Politik? Saya tidak tahu di mana silapnya laporan ini, samada kenyataan tersebut sememangnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Rais Yatim atau Utusan Malaysia sengaja mahu memanipulasikan kenyataan dan isu sebenar, itu masih menjadi persoalan. Pada pandangan saya, jika ini adalah kenyataan sebenar Datuk Seri Rais Yatim, maka beliau harus berikan rasionalnya kenyataan yang beliau berikan itu kerana beliau seharusnya lebih peka akan isu sebenar. Dan jika ini adalah manipulasi Utusan Malaysia, maka saya fikir kredibiliti wartawan Utusan Malaysia yang menulis laporan ini harus dipersoalkan. Tidak perlu cuba memanipulasikan isu sebegini, rakyat Malaysia bukan bodoh menilai mana yang benar mana yang batil.
p/s: Rakyat Malaysia tahu membezakan realiti dan konspirasi. Rakyat lebih percaya realiti daripada konspirasi.